Ekoran daripada kematian Allahyarham Datuk Noriah Kasnan dan Allahyarham Datuk Wan Mohammad Khair-il dalam nahas helikopter di Sarawak, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengumumkan Pilihanraya Kecil (PRK) di P.093 Sungai Besar, Selangor dan P.067 Kuala Kangsar, Perak akan diadakan serentak pada 18 Jun 2016. Menurut SPR lagi, penamaan calon bagi PKR kembar ini akan diadakan pada 5 Jun 2016, manakala pengundian awal pula pada 14 Jun 2016. Menurut penganalisis politik tempatan, PRK –kembar ini bagaikan ujian kertas litmus bagi Plihanraya Umum(PRU) ke-14 yang akan datang.
Pembangkang yang semakin lemah
Hubungan antara parti-parti pembangkang yang semakin renggang, secara tidak langsung akan memberi kelebihan kepada BN untuk meraih undi yang lebih berbanding mereka di Sungai Besar dan Kuala Kangsar nanti. Baru-baru ini, rebutan kerusi antara DAP dan PKR di Sarawak menunjukkan hubungan antara mereka yang semakin parah. Malah ia juga mencerminkan kepentingan diri mereka yang melebihi kepentingan rakyat di Sarawak. Sikap kedua parti pembangkang ini menerima kritikan hebat bukan sahaja daripada penyokong BN tetapi juga daripada penyokong tegar pembangkang.
Pada tahun yang lalu, PAS mengakhiri Tahaluf Siyasi dengan DAP kerana kedua parti pembangkang tersebut gagal menemui kata sepakat berhubung hukum Hudud. DAP melarang sama sekali pelaksanaan hukum Hudud di negeri- negeri di bawah kuasa pembangkang. Manakala, PAS berpendirian tegas untuk melaksanakan hukum tersebut di negeri di bawah kuasanya, Kelantan.
Setelah insiden ini, sebahagian daripada pemimpin PAS yang bersikap progresif keluar PAS dan menubuhkan Parti Amanah Negera (AMANAH) yang diketuai oleh Mat Sabu. Faktor utama mereka menubuhkan Amanah: keengganan PAS berkerjasama dengan DAP. Sebaliknya pada 16 Mac 2016, PAS secara rasmi, mengumumkan hubungan politiknya dengan parti Ikatan Bangsa Malaysia(Ikatan) yang diterajui oleh Tan Sri Abdul Kadir Sheikh Fadzir. Dengan terjalinnya kerjasama kedua parti politik ini, maka tertubuhlah blok politik ketiga dalam arena politik negara ini. Dua blok politik yang lain ialah BN dan Pakatan Harapan.
Keputusan Pilihanraya yang lalu
Jika kita melihat keputusan PRU13 bagi P.093 Sungai Besar, Allahyarham Datuk Noriah Kasnon memenangi kerusinya dengan undi majoriti sebanyak 399- memenangi pesainganya Mohamed Salleh M. Husin daripada parti PAS. Manakala suaminya Allahyarham Datuk Wan Mohammad Khair-il pula memenangi kerusi di P.067 Kuala Kangsar dengan undi majoriti 1082- mengalahkan calon PAS Khalil Idham Lim Abdullah dan calon bebas, Kamilia Ibrahim, dalam perlawanan 3 penjuru.
Namun, dengan berpecahnnya barisan pembangkang, dan hubungan antara mereka yang semakin lemah, PRK kembar pada 18 Jun ini bakal menyaksikan perlawanan 3 penjuru atau lebih. Ia seterusnya dijangka akan memberikan kelebihan kepada BN untuk meraih undi yang lebih berbanding parti-parti pembangkang lain.
Menurut Zin Mahmud, pengarang Dewan Bahasa dan Pustaka dan penganalsis politik, pengundi yang menolak BN akan berpecah antara Pakatan Harapan dengan blok politik baru, PAS dan Ikatan. Dengan perpecahan undi ini, dipercayai calon BN akan dapat meraih bilangan undi lebih daripada setiap parti yang bertanding.
Kemenangan BN di PRN Sarawak baru- baru ini merupakan contoh terbaik- di mana, kebanyakan kawasannya telah menyaksikan perlawanan 3 penjuru yang menguntungkan BN dari segi penambahan bilangan undi majoriti berbanding PRN lalu. Natijahnya, BN menang besar sungguhpun terdapat usaha pembangkang untuk memburukkan imej BN dengan isu GST dan skandal 1MDB di bumi kenyalang Itu.
Justeru, pembangkang mendakwa- tindakan kerajaan negeri Sarawak yang menyekat kemasukkan beberapa pemimpin pembangkang yang penting ke Sarawak serta amalan politik wang BN yang meluas, menyebabkan kekalahan teruk Pakatan Harapan di Sarawak.
Rebutan kerusi antara PKR dan PAS
Bagi mengeruhkan lagi keadaan, Azmin Ali, MB Selangor telah menggesa PAS untuk memberi laluan kepada PKR untuk bertanding di Sungai Besar, Selangor. Namun, PAS tetap dengan pendiriannya untuk bertanding dengan mencalonkan Dr Abd Rani Osman, ADUN Meru di Sungai Besar. Malah, Amanah dipercayai akan menamakan Dr Dzulkefly Ahmad, Pengarah Strategik parti tersebut untuk turut berentap di Sungai Besar- menebus kekalahan teruk di PRN Sarawak baru-baru ini.
Sementara itu, dijangka, situasi di Kuala Kangsar seakan-akan sama dengan situasi di Sungai Besar. Di mana, PAS dan PKR tetap akan berebut dengan BN untuk memenangi kerusi di sana. Amanah juga dijangka akan turut bersaing untuk memenangi kerusi parlimen di Kuala Kangsar.
Undi Simpati
Memandangkan kedua-dua kawasan yang bakal menyaksikan PRK Kembar ini milik pemimpin BN sebelum ini, dan rekod mereka adalah antara yang baik, sesiapa sahaja yang dicalonkan berpeluang untuk meraih undi simpati yang banyak. Oleh itu, calon BN bagi P.093 Sungai Besar, ADUN Sungai Panjang, Budiman Mohd Zohdi dan calon BN bagi P.067 Kuala Kangsar, Datin Mastura bt Dato Mohd Yazid yang juga isteri kepada Allahyarham Datuk Wan Mohammad Khair-il pastinya akan mempunyai kelebihan berbanding calon daripada parti lain, untuk memenangi kerusi di kedua kawasan tersebut.
Ujian kertas Litmus
Hubungan antara parti komponen Pakatan Harapan serta parti pembangkang lain yang semakin merosot merupakan platform terbaik bagi BN untuk mengatur strategi bagi kemenangan mereka dalam PRU ke-14. Kemenangan ini mampu dicapai oleh BN sungguhpun imejnya tercemar dengan pelbagai isu. Dalam pada itu, para penganalisis politik berpendapat bahawa PRK Kembar pada 18 Jun 2016 ini adalah satu ujian kertas litmus terbaik bagi parti-parti politik sama ada BN atau barisan pembangkang, untuk menilai kedudukan mereka berhubung PRU Ke-14 nanti.