Total Pageviews

Sunday, 8 May 2016

PRN Sarawak - BN Menang Besar, Terbukti Pembangkang Tidak Popular Di Mata Rakyat

Tan Sri Datuk Patinggi Haji Adenan bin Satem

Seperti yang diramalkan Barisan Nasional menang besar di Sarawak dengan memperolehi 72 kerusi pada Pilihan Raya Negeri (PRN) ke-11 ini.

Slogan Team Adenan nyata telah memberikan impak kepada PRN kali ini tetapi ketika kita bercakap mengenai Team Adenan ini, jangan pula kita lupa akan Apai Besar Malaysia iaitu Datuk Seri Najib Tun Razak (Perdana Menteri).

Ternyata beliau masih popular di mata rakyat hinggakan setiap kali Perdana Menteri menghadiri majlis ramah mesra, ramai yang berebut-rebut untuk bertemu dan bersalaman dengan beliau. Ia jelas menunjukkan beliau mempunyai aura tersendiri. Dengan wajah kemerah-merahan di bawah bahang matahari, beliau tidak melepaskan peluang untuk bertemu rakyat.

Beliau, sebagai Apai Besar tidak terkecuali membantu Team Adenan berkempen dan turut berada di Sarawak sepanjang kempen PRN ini. Jadual Perdana Menteri di Sarawak amat padat pada setiap hari hinggakan wartawan yang mengekorinya terasa kepenatan, tetapi Datuk Seri Najib Tun Razak tetap tersenyum tatkala bertemu orang ramai.

Meskipun nama beliau telah diburuk-burukkan oleh DAP dan PKR ketika ceramah tetapi Datuk Seri Najib Tun Razak masih popular. Bayangkanlah dalam ceramah DAP, walaupun calon dan pemimpin parti itu bercakap dalam bahasa mandarin namun nama Perdana Menteri kerap disebut. Boleh dikatakan selang lima minit ceramah, nama beliau akan timbul.

Mereka mengaitkan beliau dengan syarikat 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dan cukai barangan dan perkhidmatan (GST). Macam-macam tuduhan dilemparkan tetapi tidak pula disebut bahawa nama Najib telah dibersihkan oleh agensi yang menyiasat kes itu.

Begitu juga dengan PKR, isu semenanjung dibawa ke Sarawak dengan harapan penduduk di Sarawak akan marah dan bencikan Datuk Seri Najib Tun Razak. Mereka turut mengaitkan jika pengundi mengundi Team Adenan, ia sama seperti mengundi Datuk Seri Najib Tun Razak.

Malahan Rafizi Ramli ketika berucap di Dun Nangka, terang-terangan memberitahu beliau hanya mahu mengutuk Datuk Seri Najib Tun Razak dan Datin Seri Rosmah Mansor. Tindakan Rafizi itu bagaimana langsung tidak membantu calon PKR di Dun Nangka, Abdul Raafidin Majidi (PKR), yang tetap tewas kepada Dr. Annuar Rapa’ee dari Barisan Nasional (BN).

Apa pun tohmahan dan serangan liar itu tidak mampu memperdayakan penduduk Sarawak sebaliknya mereka lebih percayakan Datuk Seri Najib Tun Razak. Kenapa? Kerana Datuk Seri Najib Tun Razak merupakan satu-satunya Perdana Menteri yang paling kerap melawat Sarawak. Beliau telah 53 kali datang ke Sarawak. Bukan seperti pemimpin pembangkang yang hanya datang ketika musim pilihan raya dan kemudiannya hilang begitu sahaja.

Apa pun PRN Sarawak ini merupakan satu ujian besar kepada Datuk Seri Najib Tun Razak dan ternyata keputusan pilihan raya ini telah menunjukkan bahawa Perdana Menteri telah lulus dengan keputusan cemerlang.Tahniah diucapkan kepada beliau.

No comments:

Post a Comment